Komunikasi memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Maka komunikasi boleh diklasifikasikan kepada komunikasi yang berkesan dan komunikasi yang tidak berkesan. Komunikasi berkesan dapat merapatkan hubungan interpersonal tetapi komunikasi yang tidak berkesan akan membawa keburukan antara penghantar dan penerima mesej seperti berlakunya perselisihan faham dan pertelingkahan. Justeru itu, kita haruslah menggunakan cara komunikasi yang berkesan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.
Penghantar mesej dan penerima mesej bertanggungjawab untuk menghasilkan komunikasi yang berkesan. Sebelum menyampaikan mesej, penghantar perlu jelas tentang mesej yang hendak disampaikan dan matlamat untuk menyampaikan mesej. Semasa mesej disalurkan, penghantar mesej perlu memastikan keadaan pada ketika itu tiada gangguan dan mesej adalah disampaikan pada waktu yang sesuai. Selain itu, penghantar juga perlu memerhatikan respon penerima untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati penerima.
